Isnin, 5 September 2011

[pbpm] Awas Sindiket Pemungut Derma.....PBPM Tiada Memungut Derma.....

PULAU PINANG 17 Feb. - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Pulau Pinang hari ini mendedahkan kira- kira 80 peratus daripada 4,500 ahlinya ditipu satu sindiket yang menyalahgunakan nama persatuan itu sejak tahun 2007.

Setiausahanya, Ahmad Fauzi Abdullah berkata, sindiket itu mengenakan bayaran sebanyak RM25 kepada ahli untuk mendapatkan kad keahlian setiap tahun.

Ini berbeza dengan dasar persatuan itu yang mengenakan jumlah yang sama untuk pendaftaran dan kad keahlian seumur hidup.

Malah, katanya, sindiket itu turut menggunakan nama persatuan untuk memungut derma bagi membantu ahli yang kurang bernasib baik daripada individu serta syarikat.

Kejadian terbaru penipuan sindiket itu dikesan berlaku pada bulan lepas.

''Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada sebuah kilang di Seberang Perai untuk mendapatkan pengesahan sama ada persatuan ada meminta derma berupa kerusi roda atau tidak.

''Ingin ditegaskan di sini bahawa PBPM Pulau Pinang tidak pernah meminta sumbangan barangan seperti itu kerana kami mempunyai Tabung Amanah Warisan Polis yang dikhaskan untuk membantu ahli.

''Sebaliknya, jika ada individu atau syarikat yang mahu menghulurkan derma, persatuan amat mengalu-alukannya,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PBPM negeri di sini hari ini.

Menurutnya, persatuan itu tidak mahu ahli persatuan yang rata-ratanya sudah berusia menjadi mangsa penipuan sindiket yang tidak bertanggungjawab.

Ahli persatuan itu boleh menghubungi ahli jawatankuasa PBPM negeri iaitu Muhd. Kamal Ismail di talian 019-4525984, S. Muniandy (012- 4757930) atau Chin Choon Sin (012- 4300376).

Mereka boleh menghubungi ketua- ketua cawangan di negeri ini iaitu cawangan Butterworth (Abdul Majid Othman 012-4615233), Bukit Mertajam (Mohd. Basir Abu Bakar 016- 4787099), Nibong Tebal (Eusof Abdullah 012- 5992536) dan Georgetown (Mohd. Yusof Pakeh Mohd. 016-4566864).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan